Ulasan Akademi Gemilang: Pengembaraan Suzaimi

Pembaca budiman,

Sukacita saya hendak memaklumkan bahawa novel siri pertama Akademi Gemilang telah diulas oleh blog Ulas dan Kupas. Saya sendiri tidak tahu mengenai perkara ini sehinggalah diberi tahu oleh novelis Amir Husaini (Ombak Senja, 2007). Kepada pemilik blog, saya ucapkan ribuan terima kasih kerana sudi memilih novel saya untuk diulas. Komen yang anda berikan saya kutip demi memperbaiki tulisan saya pada masa hadapan. Cadangan anda mengenai watak antagonis iaitu Agen Hades akan saya pertimbangkan. Apa yang saya dedahkan dalam siri pertama bukanlah keseluruhan cerita. Maksud saya, cerita masih belum lengkap. Mengenai siapa hero sebenar siri ini selain Suzaimi, akan saya dedahkan dalam siri demi siri. Saya cuba menampilkan sesuatu yang berbeza walaupun ada mirip di sana sini.

Saya paparkan ulasan blog Ulas dan Kupas di sini:

Saya sudah lama tidak membaca novel untuk remaja. Kebetulan semasa di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur baru-baru ini, ternampak novel Akademi Gemilang: Pengembaraan Suzaimi ini, lantas terpanggil untuk mendapatkan satu naskhah untuk anak saudara. Apabila anak saudara membaca novel ini dan bertanyakan tentang sambungannya, saya kira pasti ceritanya menarik, apa lagi anak saudara saya ini lebih gemar menonton anime daripada membaca. Lantaran itu, saya tergerak untuk membuat ulasan tentang novel karya Hani Ismail ini yang saya kira karya sulungnya.Apapun, pertama kali membaca novel remaja ini, saya tidak dapat mengikiskan imej-imej watak komik X-Men yang sememangnya sudah terkenal dengan pelbagai watak mutan. Lima watak yang diperkenalkan di dalam novel remaja ini seperti menggunakan formula lima watak asal X-Men yang lahir pada tahun 1963 yang lalu. Dari segi kuasa pula, Azurin memiliki banyak persamaan dengan Storm. Izkandar pula banyak persamaannya dengan Jean Grey walaupun jantina berbeza. Asyran pula mengingatkan saya kepada Quicksilver yang bergerak sepantas kilat. Mawar pula persis watak Pyro. Suzaimi pula seperti satu kacukan di antara Wolverine (memulihkan kecederaan sendiri) dengan Tattletale (meramal masa depan melalui mimpi). Malah, apabila watak Suzaimi diperkenalkan di dalam Bab 1 "Kurniaan yang Aneh," saya terus teringatkan kisah Origin yang diterbitkan oleh Marvel Comics pada tahun 2001 yang mengisahkan asal-usul watak Wolverine. Terdapat sedikit persamaan di sana sini walaupun berkemungkinan besar ianya tidak disengajakan. Malah, Akademi Gemilang itu sendiri sebagai sebuah institusi tidak jauh bezanya dengan Xavier's Institute. Cuma bezanya Akademi Gemilang letaknya di Tanah Tinggi Cameron dan satu lagi di 1407 Graymalkin Lane, Westchester County. [Ya..., saya mengaku, saya memang hantu komik].

Namun, adakah persamaan-persamaan seperti ini menjadikan Akademi Gemilang: Pengembaraan Suzaimi satu klon atau imitasi komik X-Men? Bagi saya, tidak. Mungkin dari satu sudut, iaitu kuasa yang dimiliki oleh watak-watak ini mengingatkan kita kepada komik popular ini. Namun, jika dibaca kisah Suzaimi ini, ianya mempunyai unsur-unsur keasliannya yang tersendiri. Lebih menarik, sepanjang pengkisahan ini, Hani Ismail menyelitkan nilai-nilai keagamaan dan kemasyarakatan seperti bersyukur atas anugerah Allah, menggunakan kelebihan dengan tanggungjawab, tidak menyalahkan takdir, setia kawan dan sebagainya. Pastinya apabila nilai-nilai seperti ini diselit di dalam kisah pengembaraan seperti ini yang disukai remaja, ianya dapat diterapkan secara tidak langsung. Novel remaja ini sebenarnya sarat dengan nilai positif. Lihat saja satu contoh seperti petikan dialog di bawah (halaman 70):

"Semua ini takdir. Jangan terlalu kesal sehingga lupa yang Tuhan maha mengetahui. Saya harap awak tabah dan sabar menghadapi ujian-Nya. Insya-Allah kami di sini membantu awak memahami dan mendalami kebolehan istimewa itu."


Interaksi watak-watak yang ada sememangnya nampak logikal dan tidak dipaksa atau dibuat-buat. Saya tersenyum sendirian membaca interaksi antara beberapa watak seperti Izkandar dengan Asyran, Suzaimi dengan Mawar, dan Azurin dengan Izkandar. Hani Ismail berjaya membawa keluar "keremajaan" watak-watak ini menerusi dialog yang digunakan.


Pun begitu, saya terasa sedikit kurang puas dengan watak-watak jahat di dalam kisah ini. Kata orang putih, "a hero is only as good as its villain." Walaupun watak-watak ini unik dan menakutkan, terutamanya bagi remaja, saya rasa seperti ada yang kurang dengan watak-watak ini. Tidak seperti watak-watak baik yang dibangunkan di dalam Akademi Gemilang: Pengembaraan Suzaimi, saya rasakan watak-watak jahat ini hanya watak-watak dua dimensi. Saya ingin melihat watak-watak jahat yang mempunyai perwatakan yang lebih mantap dan bermakna.

Keseluruhannya, saya agak terhibur dengan novel remaja ini. Mungkin usia saya tidak lagi berada di dalam kategori remaja, tetapi kisah Suzaimi ini cukup menarik untuk dibaca sekalipun sudah melepasi usia ini. Jika benar seperti yang diuar-uarkan bahawa Akademi Gemilang adalah satu siri - seperti Harry Porter - saya yakin siri tempatan ini mampu mendapat ikutan remaja sekiranya promosi novel ini diperhebatkan.

Penilaian: 7.5/10

Comments

ulasbuku said…
Tahniah Hani Ismail,

Sekurang-kurangnya kita dah ada jawapan kepada pengaruh asing spt X-Men dan Harry Potter. Baik juga remaja kita ada alternatif dan taklah terpenagaruh sangat dgn novel Barat.

Kalau sudah besar pengaruh AG nanti, orang macam Hani pulak yang eksport siri sebegini ke luar negara.

Saya sendiri mungkin tak betah nak membacanya lagi, maklumlah sudah lebih suku abad usianya.

Teruskan Hani.
Phoenix Bangkit said…
terima kasih atas dorongan saudara. apa salahnya membaca AG. Umur bukan penghalang :-)
ulasbuku said…
Insya-Allah. Akan cuba mendapatkannya nanti.

Popular posts from this blog

Jejak Kuasa Alam

Akademi Gemilang: Pengembaraan Suzaimi

Emel peminat AG