Kelas Sci-Fi

Sebelum ini saya memang tidak pernah mendapat didikan profesional dalam bidang penulisan. Saya tahu menulis disebabkan oleh Cikgu Sabariah yang mengajar mata pelajaran Sastera semasa saya di tingkatan empat dan lima dahulu. Melalui tunjuk ajar Cikgu Sabariah dan digandingkan dengan kegemaran saya menulis diari, akhirnya saya pun mula menulis. Cerita pertama karangan saya ialah kisah penyiasatan. Ini kerana saya amat menggemari siri penyiasatan Nancy Drew (Salma Hamid, Zarina dan Mei Lin), kisah lima sekawan, Hardy Boys dan Sherlock Holmes. Malangnya semua tulisan itu tidak pernah saya habiskan. Semasa saya belajar di IPT, saya mula menulis kisah fantasi dan sci-fi. Tambahan pula rakan-rakan di sekeliling kebanyakannya pengikut setia siri kartun dan anime sci-fi.

Akademi Gemilang merupakan percubaan pertama saya menulis dalam genre sci-fi. Demi memperbaiki mutu penulisan dalam genre tersebut, saya mengikuti satu bengkel yang dianjurkan oleh En. Syafizan a.k.a. Saudara Mat Jan daripada PTS Fortuna dan Saudara Firdaus Ariff. Tanggapan pertama saya sewaktu melangkahkan kaki ke kelas tersebut ialah saya akan diajar bagaimana hendak menulis cereka sci-fi yang meyakinkan. Saya agak terkejut apabila apa yang saya dapat ialah diluar jangkaan. Saya mendapat lebih banyak ilmu dan lebih banyak cara menulis cereka sci-fi dengan lebih serius. Maka saya merancang menulis sebuah cereka fantasi yang sesuai dengan pembaca remaja/dewasa. Audiens saya bagi projek baru ini bukan setakat awal remaja seperti Akademi Gemilang.

Kenapa fantasi dan tidak sci-fi? Menulis cereka sci-fi yang lebih berat dan serius memerlukan penyelidikan mendalam. Malangnya buat masa ini, saya tidak mempunyai masa yang banyak. Dalam gerobok buruk saya banyak cereka fantasi yang baru separuh dikerjakan. Saya fikir inilah masa yang sesuai bagi saya menghabiskannya. Sekurang-kurangnya satu untuk tahun ini, di samping menyiapkan siri kedua Akademi Gemilang.

Saya tidak sabar untuk mengikuti kelas sci-fi seterusnya. Harap-harap kelas tersebut tidak bertindan dengan kelas saya yang lain.

Comments

Popular posts from this blog

Jejak Kuasa Alam

Akademi Gemilang: Pengembaraan Suzaimi

Emel peminat AG